Auto Added by WPeMatico
Dua hari JPJ kutip RM2.43 juta

![]()
PUTRAJAYA – Sebanyak RM2.43 juta hasil kutipan saman berjaya direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh dua hari pelaksanaan tawaran diskaun sehingga 50 peratus bermula 1 November lalu.
Berdasarkan statistik dikeluarkan jabatan berkenaan, sebanyak 18,571 saman berjaya diselesaikan di seluruh negara dalam tempoh dua hari bermula 1 dan 2 November.
Daripada jumlah itu, saman yang dikeluarkan di bawah Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS) merekodkan kutipan tertinggi sebanyak RM1.57 juta diikuti saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebanyak RM855,325.
Bagi saman di bawah Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) pula mencatatkan kutipan sebanyak RM2,260.
Tawaran diskaun tersebut bermula Sabtu lalu itu diberikan bagi semua jenis saman yang boleh dikompaun, namun tidak melibatkan kes mahkamah.
Orang ramai hanya perlu membawa MyKad atau memaklumkan nombor pendaftaran kenderaan kepada petugas di kaunter JPJ bagi menyemak dan membuat bayaran saman.
Tawaran diskaun berkenaan akan berlangsung sehingga 30 Disember ini, sebelum kadar asal dikembalikan bermula 1 Januari 2026, termasuk bagi saman di bawah JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
The post Dua hari JPJ kutip RM2.43 juta appeared first on Kosmo Digital.