Auto Added by WPeMatico

DALAM dunia muzik masa kini yang sering dibungkus teknologi dan dibalut kemilau gimik, muncul sebuah malam yang kembali mendefinisikan erti seni.
Di bawah pancaran lampu Mega Star Arena Kuala Lumpur, kumpulan Spider bangkit bukan sebagai nostalgia, tetapi bukti bahawa muzik sejati tidak pernah mati.
Bertaring dan berbisa. Itulah kalimat paling layak menggambarkan konsert Spider Unplugged yang menjadi medan penyatuan jiwa antara legenda dan pendengar lintas generasi baru-baru ini.
Diterjemah indah oleh Naga Legend Entertainment, lautan manusia yang membanjiri gelanggang muzik itu seolah-olah menanti pertemuan semula dengan memori lama yang pernah bernafas dalam hidup mereka.

Terus-terang, penulis terkesima. Tidak pernah terlintas, selepas sekian lama Spider masih mampu menyatukan generasi.
Dari wajah-wajah seusia kumpulan itu, hingga deretan anak muda yang mungkin mengenal Relaku Pujuk hanya dari YouTube – semuanya bernyanyi seirama bagai bukti bahawa muzik tidak semata-mata hiburan, tetapi warisan rasa yang mengikat masa.
Mana tidaknya, aura dendangan Spider masih utuh, menggamit memori kolektif dua dekad lalu. Setiap nota muzik seperti mengembalikan penonton ke era ketika kaset dan radio menjadi teman setia, saat suara Tam bergetar dalam lagu-lagu yang menyalakan jiwa.
Tepat pukul 8.30 malam, kelibat Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafah diiringi Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar) disambut jeritan peminat yang sudah lama kehausan hiburan langsung daripada kumpulan pujaan mereka.
Masing-masing tampil dengan aura pemuzik persis awal kemunculan mereka dahulu bahkan Tam juga kekal santai dan tidak berlebihan, hanya menyarung dua persalinan sepanjang konsert iaitu T-shirt dan jeans.
Konsert berdurasi lebih dua jam itu cukup meriah, namun tidak dinafikan sesak tiada ampun, bagaimanapun tidak menghalang penonton berteriak seawal penampilan yang menaikkan lagi energi konsert.
Main jiwa
Umpama membawa khalayak ke terowong masa, penyanyi berusia 52 tahun itu bersinergi dengan rakan seperjuangan menyampaikan dendangan malar segar yang dipetik daripada hampir keenam-enam album studio mereka.

Lebih menarik, barisan pemuzik yang mengiringi mereka bukan calang-calang. Di bawah arahan Firdaus Mahmud sebagai pengarah muzik, dibantu Paang Zaman (perkusi) dan Rafi Mohd. sebagai konduktor pasukan horns, Spider Unplugged menjelma sebagai kuliah muzik sebenar.
Antara repertoire persembahan termasuklah Rasakan Resapkan, Kau Saja, Kacap Terlabik diikuti seleksi hit yang jarang sekali dibawa dalam konsert iaituSumpah Tak Buat Lagi dan Waduh Tijah.
Spider mempersembahkan 24 lagu termasuklah Bila Nak Saksi, Laukku Cukup Masin, Nak Lantak, Mabok, Kekal dan Telinga Ke Tulang terkandung campuran pop, rock serta ska yang menjadi resipi mereka sejak dahulu.
Dalam pada berhibur, Spider tidak melupakan keperitan saudara di Palestin sekali gus mendendangkan lagu Jangan Kau Berputus Asa sebagai tanda bersolidariti.
Momentum tidak surut. Alunan Ngam Ho, Mama, Impian Seorang Nelayan, Sungguh Ku Telah Jatuh Cinta (SKTJC) dan Tapi Bagaimana memecahkan lenguh penonton, menyalakan semula semangat remaja yang lama terpendam.
Justeru, nyanyian sepenuh hati kumpulan berbakat itu menjadi ‘sing along’ penonton yang sudah sebati melumati lirik dan melodi sekian banyak masa.
Set persembahan ringkas tetapi padat dengan elemen akustik moden itu diserikan permainan lampu yang membawa aura 90-an dan visual latar bernuansa grunge, seolah-olah pentas itu terangkat menjadi kapsul masa buat generasi muzik sebenar.
Dari segi mutu vokal, suara Tam tidak goyah sedikit pun, malah lantang, jelas dan masih berbisa seperti dua dekad lalu.

Tanpa pertunjukan megah atau efek berlebihan, Spider membuktikan muzik sejati tidak memerlukan kosmetik, cukup dengan kejujuran dan kemahiran.
Stamina orang muda
Stamina Tam yang melepasi usia 50 tahun juga wajar dipuji. Tiada tanda semput, hanya semangat kental dan cinta terhadap seni yang menyalakan setiap bait nyanyiannya.
Ahli kumpulan lain turut kekal bertenaga, masing-masing bermain dengan jiwa, tidak sekadar mengiringi tetapi memberi nyawa pada setiap lagu.
Pentas kemudian bergema dengan lagu wajib karaoke peminat iaitu Kasih Latifah, Relaku Pujuk, Buat Sang Puteri dan Aladin membuatkan ribuan penonton melompat bagaikan terperangkap dalam kenangan zaman remaja.
Sebagai kemuncak, Cinta Dewa Dewi, Nazraku dan Mungkinkah Terjadi menjadi penutup paling epik, menandakan konsert unplugged itu sebagai manifestasi kejujuran muzik sebenar.
Usai persembahan, tiada siapa mahu pulang. Penonton berdiri lama, seperti berat untuk meninggalkan dewan.
Itulah penangan orang lama. Luar biasa! – KOSMO! ONLINE
The post Spider Unplugged ‘kuliah’ muzik sebenar appeared first on Kosmo Digital.