Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran memaklumkan, Tribunal Hak Asasi Manusia yang bakal ditubuhkan kerajaan akan turut mengambil kira pandangan dalam aspek syariah Islam.
Menurut beliau, Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia (JKKTHAM) malah turut dianggotai wakil daripada Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
“Pandangan daripada segi syariah akan diambil kira juga. Apa-apa usul dibuat tidak akan bertentangan dengan Perlembagaan. Akan ambil kira semua perkara tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) yang mahu tahu sama ada Tribunal Hak Asasi Manusia hendak ditubuhkan tidak bercanggah dengan Islam terutama dalam tafsiran hak asasi.
Mumtaz turut bertanya apakah perbezaan antara keputusan Tribunal Hak Asasi Manusia dan inkues siasatan sekiranya kes kematian Teoh Beng Hock, Muhammad Adib Mohd Kassim dan Zara Qairina Mahathir dijadikan kes dibawa tribunal itu.
“Kalau tribunal ini ada sebelum ini, saya percaya siasatan telah pun berjalan,” jawab Kulasegaran ringkas.
Menjawab soalan asal, beliau berkata, cadangan menubuhkan sebuah Tribunal Hak Asasi Manusia
merupakan satu usaha Kerajaan Madani dalam reformasi institusi.
Menurutnya, ia bagi mewujudkan sebuah badan yang akan memberi ruang kepada mangsa pelanggaran hak asasi manusia untuk mendapatkan keadilan melalui mekanisme alternatif yang lebih mudah diakses.
Kata beliau, setakat Julai 2025, sebanyak lima mesyuarat JKKTHAM telah dilaksanakan dan pembentangan dapatan awal kajian telah dibentangkan oleh pasukan penyelidik kepada JKKTHAM pada 9 Julai 2025.
Jelas beliau, dapatan itu meliputi kerangka konseptual dan teori, analisis mekanisme hak asasi manusia sedia ada di Malaysia, analisis perbandingan amalan antarabangsa dan cadangan model tribunal hak asasi manusia Malaysia.
“Seterusnya, perbincangan kumpulan fokus melibatkan pihak-pihak berkepentingan telah diadakan pada 17 Julai 2025 di Kuala Lumpur dan akan disusuli di peringkat zon, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: Tribunal Hak Asasi akan ambil kira aspek syariah Islam appeared first on Kosmo Digital.