Auto Added by WPeMatico

KUCHING – Revolusi yang cuba dijelmakan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) tidak bermula seperti diharapkan apabila tewas 0-4 kepada Kuching City pada aksi pertama Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.
Dua import baharu, Ronald Ngah Wanja dan Joao Pedro menjadi nadi utama kepada kemenangan The Cats, menyaksikan kedua-duanya menghasilkan jaringan buat tuan rumah.
KTRW FC yang melakukan perubahan besar dalam senarai pasukan musim ini dilihat masih bergelut untuk membina keserasian antara pemain dan situasi itu nyata berbeza dengan tuan rumah.
Terdahulu, tuan rumah memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila memperoleh dua gol dalam tempoh kurang 20 minit pertama.
Ngah Wanja yang juga bekas import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membuka akaun jaringannya seawal minit keenam sebelum seorang lagi bintang baharu Kuching City, Pedro menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-17.
Seterusnya, The Cats terus mendominasi perlawanan di babak pertama dan memiliki beberapa lagi peluang terbaik hingga memaksa KTRW FC lebih banyak memberikan tumpuan kepada tugasan bertahan.
Aksi lebih baik dipamerkan KTRW FC di babak kedua namun beberapa gerakan diatur masih belum mampu untuk menghasilkan jaringan sebaliknya minit ke-71, Ngah Wanja meledak gol kedua peribadinya bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Ketika aksi hampir berakhir dengan 3-0, Ramadhan Saifullah Usman yang jadi pencetus kepada jaringan ketiga Kuching City merobek gawang lawan buat kali keempat pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Kuching City ‘cakar’ KTRW FC appeared first on Kosmo Digital.