Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Kuasa-kuasa besar termasuk Amerika Syarikat, Iran, Arab Saudi, Mesir, Turkiye, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) digesa duduk semeja bagi mencari penyelesaian diplomatik untuk meredakan konflik di Asia Barat yang kini memberi kesan kepada ekonomi dan bekalan tenaga dunia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konflik berkenaan bukan sahaja menyebabkan penderitaan kepada penduduk di rantau terbabit, malah negara-negara Asia Tenggara termasuk anggota ASEAN turut terkesan akibat kebergantungan kepada bekalan minyak mentah dari kawasan Teluk.
Beliau berkata, perkembangan konflik yang semakin meruncing perlu ditangani melalui rundingan bagi mengelakkan kesannya terus merebak dan membebankan masyarakat antarabangsa.
“Di Teluk berlaku peperangan tetapi yang menderitanya kami di Asia Tenggara. Negara-negara ASEAN terjejas kerana bekalan minyak mentah semuanya bergantung daripada kawasan Teluk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi hasil perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Yaman Dr Afrah AbdulAziz Al-Zouba serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan, malam tadi.
Mohamad berkata, perbualannya dengan Sheikh Abdullah turut menyentuh keadaan keselamatan di rantau Teluk yang semakin meruncing, termasuk dakwaan serangan peluru berpandu Houthi hingga ke Dammam, Arab Saudi, yang menjejaskan keyakinan pedagang minyak antarabangsa.
Menurutnya, harga minyak mentah dilaporkan meningkat daripada AS$107 kepada AS$117 setong dalam tempoh sehari, manakala usaha meningkatkan pengeluaran minyak oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) berdepan kekangan susulan keadaan kritikal di Selat Hormuz. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia gesa kuasa besar berunding diplomatik redakan konflik Asia Barat appeared first on Kosmo Online.
