Auto Added by WPeMatico

SETIU – Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut selepas motosikal ditunggangi gagal mengelak lalu merempuh sebuah kereta Nissan Sentra dipandu tukang jahit warga asing di Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Kampung Bari Kecil, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohammad Naim Zikry Marwadi, 23, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Mohammad Naim Zikry yang berasal dari Jeli, Kelantan dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bahru dari kampus UMT, Kuala Nerus.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha YZF-R25 ditungganginya dikatakan gagal mengelak lalu merempuh sebuah kereta Nissan Sentra.
“Kereta tersebut dipandu seorang tukang jahit warga Bangladesh berusia 52 tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, siasatan awal mendapati kereta Nissan Sentra dipandu warga asing yang mempunyai lesen memandu berkenaan dikatakan tiba-tiba membelok untuk memasuki simpang kanan.
Beliau berkata, mayat Mohammad Naim Zikry telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar UMT maut, motosikal rempuh kereta warga asing masuk simpang appeared first on Kosmo Digital.