Auto Added by WPeMatico

KLUANG – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli merasmikan Laman Rel Mahkota di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang di sini hari ini.
Laman Rel Mahkota merupakan sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer yang dibangunkan di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru akan dibuka secara rasmi pada Isnin, 25 Ogos 2025 ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda tiba di Stesen Keretapi Kluang kira-kira 11.15 pagi selepas berangkat dari Stesen Kuala Lumpur usai merasmikan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan selatan pagi tadi.
Sultan Ibrahim berkenan memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencapai kelajuan hingga 140 km/j itu, dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Kluang di Johor.
Mengiringi keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Selepas majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda kemudian berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki ETS3.
Pada majlis sama, Anthony Loke mengumumkan bahawa perkhidmatan ETS3 akan mula beroperasi pada 30 Ogos 2025, melibatkan laluan KL Sentral–Kluang–KL Sentral.
Pembelian tiket boleh dibuat mulai 23 Ogos 2025 (Sabtu), pukul 8 malam melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman sesawang rasmi KTMB.
Sultan Ibrahim sebelum ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Recordssebagai Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).
Seri Paduka Baginda memperoleh lesen memandu kereta api serta melakukan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan sekali gus diiktiraf sebagai sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.
Selasa lalu, Sultan Ibrahim turut berkenan memandu ETS2 dari Kuala Lumpur ke Rawang.
Anthony Loke sebelum ini dilaporkan berkata, kedua-dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) bagi laluan selatan ke Johor Bahru Sentral, sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semua berjalan lancar, ia akan mula beroperasi bulan ini. – KOSMO! ONLINE
The post Agong berkenan rasmi Laman Rel Mahkota appeared first on Kosmo Digital.