Auto Added by WPeMatico

![]()
LIPIS – Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) kini giat mengenal pasti sumber air baharu termasuk pembangunan telaga tiub sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan krisis air pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Petra, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pelbagai kajian sedang dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi memastikan bekalan air negara kekal mampan meskipun berdepan perubahan cuaca tidak menentu.
“Menerusi agensi seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) sedang membuat pelbagai kajian termasuk telaga tiub. Kita mengkaji dimana kawasan yang mengandungi air yang banyak.
“Ini adalah salah satu usaha untuk kita sekiranya berlaku krisis air. Menerusi kajian yang dibuat, kita percaya banyak tempat yang boleh bekalkan air,” katanya sempena Program Selamat Air Raya Parlimen Lipis Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Sempena majlis itu Abdul Rahman turut menyampaikan wakalah zakat kepada 200 pelajar peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi yang berjumlah RM104,000.
Tambah Abdul Rahman, keadaan cuaca tidak menentu ketika ini juga boleh memberi kesan kepada sumber air negara.
“Kita tengok sekarang ini kemarau dan hujan tidak menentu. Ramalan cuaca panas mungkin sampai bulan Ogos dan kita tahu empangan mula mengalami kekurangan air. Masalah air ini bila-bila boleh berlaku, tetapi melalui agensi seperti JPS, Nahrim dan SPAN kita masih dapat mengawal keadaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan kenal pasti sumber air baharu, bangunkan telaga tiub appeared first on Kosmo Digital.
