Auto Added by WPeMatico

MELAKA – “Kali terakhir saya nampak budak itu minggu lalu dan tidak apa yang pelik atau dengar bunyi bising keluarga tersebut bergaduh.”
Itu kongsi jiran kepada keluarga kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang disyaki mati akibat didera bapa tirinya dalam kejadian di Kota Laksamana, di sini.
Warga emas yang enggan dikenali itu berkata, dia sekadar mengetahui pasangan suami isteri itu bekerja di sebuah restoran nasi ayam dan mempunyai seorang anak perempuan.
“Keluarga itu tidak bergaul dengan jiran tetangga di sini, mereka sekadar keluar untuk pergi bekerja.
“Saya ada nampak budak perempuan tu minggu lalu tapi tak sangka dia jadi mangsa dera,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu.
Tambahnya, dia juga terkejut apabila mengetahui kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia pagi tadi.
“Kebetulan, saya kerja malam tadi dan terus tidur jadi tak tahu apa yang berlaku. Tiba-tiba polis datang memasang pita dan melakukan siasatan di rumah mereka,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa tirinya di rumah mereka di Kota Laksamana, di sini pagi tadi.
Menurut sumber, kejadian terbongkar pada pukul 9.45 pagi tadi selepas pihak polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta memaklumkan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan dengan kesan kecederaan dipercayai didera.
“Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta menemui beberapa kesan lebam di kepala dan badan mangsa.
“Pesakit kemudian disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tak dengar bunyi bising, tak sangka dia mati didera – Jiran appeared first on Kosmo Digital.