Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Selepas 10 tahun tidak mengubah suai kediaman, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri mengakui terkejut apabila kerja mengecat semula banglo agamnya hampir mencecah setengah juta.
Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, berkata kos tinggi yang perlu ditanggung adalah disebabkan keluasan saiz kediaman serta penggunaan jentera berat.
“Sebenarnya sejak 10 tahun lalu memang cat asal saja. Sekali nak cat semula, kos mencecah sekitar RM450,000. Bukan riyak, kos tinggi sebab perlu guna cat semburan.
“Sekarang warna makin pudar yang memerlukan kerja mengecat semula. Orang sangka mahal sebab saya bukan pakai cat biasa, tapi spray. Rumah jenis bertingkat, kena gunakan jentera.
“Kerja mengecat pula membabitkan luar, dalam serta keseluruhan pagar. Jadi bila dapat sebut harga saya pun terkejut,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Menurut bapa kepada enam anak itu, sebelum ini kerja penyelenggaraan kediaman hanya dilakukan dalam skala kecil atau bahagian tertentu.
“Ada juga sebelum ini kami cat sendiri dibantu tukang kebun dengan menggunakan cat kapur saja. Habis lebih kurang RM50,000. Itu pun bahagian bawah saja.
“Bergelut saya cari duit. Bayangkan rumah saya itu nak ‘polish’ lantai pun RM30,000. Nak tukar langsir pun boleh gaduh. Langsir dah 10 tahun belum berganti,” ujarnya.
Aliff berkata, kos bulanan serta penyelenggaraan berkala memerlukannya bekerja keras agar seisi keluarga dapat tinggal dengan selesa.
“Kerja mengecat dan baik pulih ini adalah antara persiapan menyambut hari raya. Biar keluarga selesa, begitu juga tetamu yang datang sebab biasanya 1 Syawal ramai berkumpul di rumah kami.
“Sejujurnya bukan senang. Nak maintain rumah pun perlu belanja besar. Jadi saya kena bekerja pagi sampai malam, buat live.
“Nak bayar gaji pekerja saya dalam sebulan pun memerlukan RM1.2 juta. Semua itu tak termasuk bayaran bank dan liabiliti lain,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Aliff Syukri terkejut, kos cat semula banglo cecah RM450,000 appeared first on Kosmo Digital.
