Auto Added by WPeMatico

KULIM – Jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, yang terkorban dalam nahas trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori muatan batu pada semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra di Lunas, di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Akmal Wafi yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu selamat disemadikan kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa arwah, Annuar Yusof, 55.
Lebih 200 orang termasuk keluarga dan rakan arwah serta anggota dan pegawai polis hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah tiba di rumah keluarganya di Taman Pegaga, Lunas pada pukul 6.30 pagi tadi sebelum dibawa ke masjid tersebut kira-kira pukul 10 pagi untuk disembahyangkan dan diimamkan oleh Shahril Adzhar Abu Samah.
Sementara itu, bapa arwah, Annuar ketika ditemui meluahkan rasa syukur apabila urusan pengebumian anaknya berjalan lancar.
“Syukur alhamdulillah urusan pengebumian selesai, saya reda,” katanya ringkas.
Kosmo! semalam melaporkan sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh maut dalam nahas membabitkan trak FRU dan lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak kira-kira pukul 8.30 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas FRU: Urusan pengebumian selesai, saya reda – Bapa Akmal Wafi appeared first on Kosmo Digital.