Auto Added by WPeMatico

LONDON – Liverpool mungkin membuat keputusan melepaskan khidmat pemain pertahannya, Ibrahima Konate sebelum jendela perpindahan kali ini ditutup selepas Real Madrid dilapor meningkatkan minat mereka.
Konate yang menyertai Liverpool sejak 2021 berjaya berkembang untuk menjadikan dirinya antara tonggak utama pasukan itu di bawah kendalian Jurgen Klopp dan Arne Slot menyebabkan kelibatnya menjadi buruan banyak pasukan.
Pemain berusia 26 tahun itu hanya memiliki baki kontrak semusim sahaja lagi di Anfield dan dilapor enggan menandatangani kontrak baharu ekoran minat yang ditunjukkan oleh Real bagi mendapatkan khidmatnya.
Laporan menyebut bahawa Konate sudah memberikan persetujuannya untuk menyertai Real pada musim panas tahun depan sekali gus menyebabkan Liverpool bakal kehilangan pemain itu secara percuma.
Perkembangan itu menyebabkan Liverpool mungkin membuat keputusan melepaskan khidmatnya sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September nanti sekiranya terus gagal memujuk pemain itu menerima tawaran perjanjian baharu.
The Reds dilapor meletakkan tanda harga sekitar £35 juta (RM199.67 juta) untuk melepaskan pemain itu pergi dan Konate pula dikatakan menuntut gaji mingguan sebanyak £200,000 (RM1.14 juta) untuk bersetuju kekal di Anfield.
Real pula dilapor enggan bersetuju dengan tuntutan tersebut dan bersedia untuk menunggu sehingga musim ini berakhir bagi mendapatkan Konate secara percuma. – AGENSI
The post Liverpool terdesak jual Konate appeared first on Kosmo Digital.