Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Cuti Hari Wesak pada hari ini dimanfaatkan oleh warga asing yang bekerja dan berada di negara ini dengan memenuhi lokasi tumpuan pelancongan terkenal di ibu negara.
Tinjauan Kosmo! di Suria Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini mendapati kawasan terbabit sesak dengan kehadiran warga asing seolah-olah berada di negara lain.
Rata-rata rakyat tempatan yang ditemui berkata, kehadiran warga asing yang ramai bukan sahaja dapat dilihat di sekitar pusat beli-belah, malahan pengangkutan awam seperti sistem transit aliran ringan (LRT) turut dimonopoli oleh mereka.
Seorang suri rumah, Siti Kur Khairani Abdul Rahman, 37, berkata, suasana yang sesak dengan kehadiran warga asing itu menimbulkan rasa kurang selesa seolah-olah berada di negara lain.
“Kami sekeluarga sendiri jarang keluar berjalan. Kalau kita tengok, terlalu ramai warga asing duduk dan lepak di kawasan pusat beli-belah membuatkan kami tidak selesa.
“Adakah kita duduk di Malaysia atau di luar negara,” katanya.
Seorang pelajar universiti awam, Nur Ain Samad, 21 berkata, kehadiran warga asing dengan jumlah yang ramai menjadikan rakyat Malaysia seperti ‘orang asing’ apabila menaiki pengangkutan awam seperti LRT.
Berbeza pula pandangan seorang pekerja swasta, Mohammad Rushdan, 34, yang menyifatkan kehadiran warga asing tidak sepatutnya menjadi isu sekiranya mereka mematuhi peraturan.
“Bagi saya, tiada masalah selagi mereka ikut peraturan. Kita pun ada ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di luar negara.
“Lagipun, mereka (warga asing) turut menyumbang kepada ekonomi negara. Ramai yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan perkilangan, jadi ada juga peranan mereka dalam membantu pembangunan negara,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post ‘Umpama di luar negara, KL sesak dengan warga asing’ appeared first on Kosmo Digital.