Auto Added by WPeMatico

SETIAP kali Syawal, membeli baju raya menjadi kebiasaan masyarakat. Namun, tidak semua berpeluang mendapatkan pakaian baharu, terutama apabila harga mencecah ratusan ringgit.
Bagi pencipta kandungan, Wan Zurnadia Fadhila Wan Rosli atau lebih mesra dipanggil Nadia, pendekatan berbeza dipilih dengan menghidupkan semula pakaian lama milik keluarganya.
Melalui siri kandungan di media sosial berjudul “Kita Style-kan Apa Yang Ada Jurr”, gadis berusia 26 tahun itu berkongsi idea menggayakan semula baju raya lama agar kelihatan segar dan masih ikut trend raya terkini.
Idea tercetus ketika pulang ke kampung
Menurut Nadia, idea untuk menghasilkan siri tersebut tercetus secara spontan ketika pulang ke kampung halamannya pada awal Ramadan lalu.
“Saya ternampak banyak baju lama dalam almari, termasuk milik mak, kakak dan juga baju arwah opah. Dari situ saya terfikir, kenapa tidak cuba ‘hidupkan semula’ baju-baju ini dengan cara styling (gaya) yang berbeza,” katanya.
Nostalgia baju raya hasil warisan keluarga
Nadia berkata, kebanyakan pakaian yang digayakan dalam siri tersebut merupakan milik ahli keluarganya termasuk ibu, kakak serta arwah neneknya. Baginya, pakaian lama menggamit semula memori bersama keluarga tersayang.
“Ada juga beberapa helai yang sudah lama saya simpan sendiri. Antara yang paling istimewa bagi saya ialah baju arwah opah yang mungkin sudah berusia puluhan tahun.
“Walaupun lama, kualiti dan potongannya masih sangat cantik. Saya hanya cuba gabungkan dengan kain, tudung atau aksesori lain untuk beri nafas baharu kepada gaya tersebut,” ujarnya.
Tip padanan dan kombinasi warna menarik
Dalam siri tersebut, Nadia yang juga seorang model fesyen tampil dengan kombinasi pakaian berwarna terang atau konsep “colour block” yang jarang digayakan orang.
Bagaimanapun, perkongsiannya mendapat penerimaan ramai kerana ia masih dilihat sebagai sedap mata memandang, seiring dengan trend raya terkini bertemakan era zaman dahulu.
- Keseimbangan warna itu penting
“Jika satu pakaian sudah sangat terang atau bercorak, saya akan padankan dengan warna lain yang masih berada dalam ton yang harmoni. Kadang-kadang saya juga ambil inspirasi daripada warna yang ada dalam corak kain itu sendiri,” katanya.
- Pakai dan gayakan dengan yakin
“Kadang-kadang kita rasa takut untuk cuba warna yang berani, tetapi sebenarnya bila kita yakin memakainya, orang lain pun akan nampak gaya itu lebih menarik,” beliau berkata.
Isu ‘overconsumption’ menjelang raya
Nadia tidak menolak trend membeli baju raya baharu memandangkan ia menjadi tradisi masyarakat sejak berzaman.
“Membeli baju raya juga satu tradisi yang indah dan saya sendiri menyokong orang ramai untuk menyokong jenama tempatan serta pereka fesyen kita.
“Yang penting adalah keseimbangan. Tidak salah membeli baju baharu, tetapi kita juga boleh menghargai dan menggunakan semula pakaian yang sudah ada.
“Kadang-kadang dengan kreativiti dan sedikit eksperimen, kita boleh mencipta gaya yang menarik daripada pakaian yang sudah lama kita miliki,” katanya.
Kisah netizen yang menyentuh hati
Nadia berkongsi, siri tersebut turut membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi kisah peribadi mereka berkaitan pakaian lama.
“Ada yang berkongsi mereka teringat baju arwah ibu, ada mula keluarkan semula baju lama dari almari untuk dipakai semula.
“Bagi saya, itu lebih bermakna daripada sekadar jumlah tontonan kerana ia menunjukkan pakaian juga boleh membawa memori dan emosi kepada seseorang,” luahnya.
Sentiasa bersederhana dalam semua perkara
Mengakhiri temu bual bersama Relevan, Nadia berharap orang ramai tidak terlalu terikut-ikut dengan trend sehingga merasa perlu membeli banyak pakaian baharu setiap kali menjelang Aidilfitri.
“Pakai apa yang membuatkan kita rasa selesa dan yakin. Seperti yang saya selalu sebut di akhir video, Ramadan dan Raya adalah tentang rasa syukur, bersederhana dan keyakinan diri.
“Kadang-kadang pakaian yang kita pakai itu bukan sekadar fesyen, tetapi juga membawa memori dan cerita yang sangat bermakna,” jelasnya. – RELEVAN
The post Pempengaruh popularkan konsep ‘recycle’ baju raya lama appeared first on Relevan.
