Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bukan sahaja memberi pendedahan asas ketenteraan kepada generasi muda, malah turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai pasukan keselamatan negara selepas menamatkan latihan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Yaacob Samiran berkata, ada para pelatih ditawarkan untuk menjadi anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Malah, katanya mereka juga boleh menyertai pasukan simpanan lain seperti Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Dalam siri yang lepas, seramai 148 pelatih telah menyertai Askar Wataniah manakala 40 orang lagi kini menjalani latihan sebagai anggota tetap ATM. Ini menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan belia untuk berkhidmat kepada negara.
“Pelatih-pelatih ini akan diberikan pendedahan dalam modul khas sebelum mereka menamatkan latihan di kem-kem PLKN,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, penyertaan dalam pasukan keselamatan adalah penting kerana Askar Wataniah dan pasukan simpanan lain berfungsi sebagai barisan pelapis kepada angkatan tetap.
“Pertahanan negara bukan hanya tanggungjawab tentera semata-mata, sebaliknya ia melibatkan masyarakat secara menyeluruh. Dengan latihan asas ini, anak muda dapat mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan dan menjadi barisan pertahanan kedua negara,” katanya.
Tambahnya, pendekatan itu selari dengan konsep pertahanan menyeluruh yang diamalkan oleh ATM dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin. – KOSMO! ONLINE
The post PLKN buka laluan sertai pasukan keselamatan negara appeared first on Kosmo Digital.