Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan kementerian dan agensi berkaitan supaya memperkukuh kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
Langkah itu bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah rentas sempadan.
Menerusi akaun media sosial rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Titah itu disampaikan selepas Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung lebih satu jam di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima taklimat mengenai Laporan Siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) serta isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan terhadap perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh dan tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Seri Paduka Baginda bertitah agar siasatan dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah baginda. – UTUSAN
The post Agong titah perkukuh kawalan keselamatan semua lapangan terbang, pintu masuk negara appeared first on Utusan Malaysia.
