Auto Added by WPeMatico

KLANG – Tular sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di media sosial dirempuh laju dari belakang oleh kenderaan lain sebelum terbakar di Kilometer 23.6 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi tersebut bagaimanapun tidak mengorbankan sebarang nyawa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 20 tahun di lorong kanan Kesas.
Katanya, Perodua Alza itu turut dinaiki dua lagi penumpangnya.
“Secara tiba-tiba Perodua Alza itu telah dirempuh dari belakang oleh MPV Kia Karnival dipandu lelaki berusia 20 tahun bersama dua penumpangnya.
“Akibat rempuhan tersebut, Perodua Alza telah hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri jalan lalu terbakar keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Tambahnya, sebuah treler dipandu lelaki berusia 43 tahun di lorong tengah tidak dapat mengelak lalu melanggar serpihan kedua-dua MPV terlibat itu.
Ujarnya, akibat kemalangan pemandu dan penumpang Perodua Alza telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut.
“Pemandu MPV lain pula menerima rawatan di sebuah hospital swasta. Tiada sebarang kecederaan serius melibatkan mana-mana pihak dalam kemalangan itu,” jelasnya.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, sebuah video daripada papan pemuka berdurasi 35 saat menunjukkan detik-detik kemalangan termasuk terbakar tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE
The post Dirempuh laju sebelum terbakar di Kesas appeared first on Kosmo Digital.