Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori cedera selepas diserang dan ditetak dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di kawasan Flat Taman Sri Murni, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.44 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila mangsa berusia 28 tahun didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah parang.
“Suspek dipercayai menetak mangsa di bahagian lengan kiri sebanyak empat kali sebelum melarikan diri menaiki motosikal ke arah yang tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, mangsa memaklumkan tidak mengenali kedua-dua suspek dan tidak mempunyai sebarang perselisihan atau masalah dengan mana-mana pihak sebelum kejadian berlaku.
“Seorang saksi yang juga teman wanita mangsa memaklumkan kejadian berlaku dengan pantas dan wajah suspek tidak dapat dikenal pasti kerana suspek memakai topi keledar,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di wad Ortopedik, Hospital Selayang dan berada dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengesan kedua-dua suspek terlibat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori cedera ditetak lelaki tidak dikenali appeared first on Kosmo Digital.