Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam dua kes ragut di sekitar ibu kota sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata pihaknya menahan suspek berusia 34 tahun itu di sekitar Setapak pada 15 Julai lalu kira-kira 4.50 petang.
Menurutnya, hasil rampasan motosikal jenis Honda Wave mendapati kenderaan tersebut masih dilaporkan hilang di Jalan Pahang, Wangsa Maju dimana kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memerhati pergerakan mangsa yang leka bermain telefon bimbit.
“Kes terbaharu membabitkan suspek disyaki meragut seorang warga asing di Jalan Imbi di sini pada 25 Jun lalu yang menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM2,500,” katanya pada sidang akbar di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang merupakan penganggur juga didapati menyewa di hotel bajet dan sering berpindah-randah.
Katanya, antara barang yang dirampas termasuklah lima keping kad bank, sekeping kad Touch N Go, pasport negara asing dan telefon bimbit.
“Suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine yang disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek direman tujuh hari bermula 16 Julai hingga 22 Julai selepas reman tamat lelaki itu kemudian diserahkan kepada IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Peragut sasar mangsa bermain telefon diberkas polis appeared first on Kosmo Digital.