Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Bapa mentua kepada anggota polis yang terbunuh dilanggar suspek kes pecah rumah hari ini menyifatkan arwah sebagai seorang menantu yang penyayang dan ringan tulang.
Malah bagi Mohd. Yusoff Murad, 67, Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul Izham Mazlan, 35, itu tidak ubah seperti anak kandungnya.
“Saya sayang arwah macam anak kandung saya sendiri. Arwah sangat penyayang dan menghormati kami selain prihatin dengan kebajikan kami sekeluarga termasuk adik-adik iparnya. Duit belanja dia akan beri setiap bulan untuk kami.
“Tetapi Tuhan lebih sayangkan arwah. Kami semua reda dengan kehilangan ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Arwah meninggalkan seorang balu, Nur Azhanis Mohd. Yusoff, 36 dan tiga anak berusia 11, 9 dan empat tahun.
Menurut Mohd. Yusoff, kali terakhir mereka bertemu beberapa hari lepas untuk menghantar anak bongsu berusia empat tahun ke rumahnya di Kubang Rotan.
Dalam pada itu menurut adik ipar mangsa, Nur Najwa, 32, kematian arwah meninggalkan kesan mendalam kepada kepada keluarga mereka.
“Arwah suka menolong. Apa sahaja dia akan bantu. Kebetulan sudah seminggu saya duduk di kuarters tempat tinggal mereka atas permintaan kakak untuk menemaninya dan menguruskan anak mereka kerana kakak baru sahaja dapat kerja,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Arwah macam anak kandung saya, dia penyayang dan ringan tulang’ appeared first on Kosmo Digital.