Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Kerajaan Bangladesh memohon kerjasama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk mencari penyelesaian bagi menyelesaikan isu melibatkan etnik Rohingya yang kekal menjadi antara cabaran terbesar kepada republik berkenaan.
Permintaan itu dizahirkan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan kunjungan rasmi ke Kompleks Perdana Putra, di sini tadi.
Menerusi sidang akhbar itu, Muhammad Yunus turut mengalu-alukan pelaburan lebih besar dari Malaysia ke Bangladesh dengan menyifatkan negara itu menawarkan peluang lebih luas kepada kumpulan pelabur.
“Negara kami menawarkan peluang lebih luas daripada sumber tenaga kerja mahir hingga teknologi untuk dimanfaatkan oleh pelabur Malaysia. Ia bagi menubuhkan satu industri, seterusnya mengeksport produk ke seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Yunus turut menyifatkan kunjungan beliau ke Malaysia seperti berada di rumah kedua susulan pelbagai ikatan antara kedua-dua negara.
“Hari ini, hubungan kita semakin erat atas pelbagai sebab terutamanya kerana ramai rakyat Bangladesh bekerja di sini.
“Mereka menghantar pendapatan ke tanah air, menyara keluarga, membiayai persekolahan anak-anak dan memastikan pendidikan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Mereka gembira bekerja di sini dan atas sebab itu kami mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menerima rakyat kami dengan penuh mesra,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Yunus turut berharap agar pintu peluang terus terbuka antara Malaysia dan Bangladesh, seterusnya membolehkan lebih ramai rakyat negara itu dapat mencari rezeki di Malaysia.
Bercakap mengenai kerajaan Bangladesh ketika ini, beliau berkata, pimpinan mengambil alih pentadbiran negara itu tahun lalu ketika tercetusnya gerakan kebangkitan rakyat terutamanya golongan muda.
“Rejim terdahulu telah menindas demonstrasi, melakukan keganasan terhadap rakyat dan meruntuhkan institusi negara.
“Kebangkitan itu membawa kepada penubuhan kerajaan baharu dan saya telah diundang untuk memimpinnya.
“Pada waktu yang penuh ketidaktentuan itu, ketika saya masih mencari haluan, siapakah yang hadir? Sahabat saya, Anwar Ibrahim,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Yunus diberikan sambutan rasmi sebelum mengadakan perbincangan dua hala bersama Anwar selama lebih sejam di Kompleks Perdana Putra hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Bangladesh mohon kerjasama Malaysia bantu selasai isu Rohingya appeared first on Kosmo Digital.