Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kehadiran dua peserta warga Thailand dalam program Keretapi Sarong 2025 hari ini mencuri perhatian apabila tampil mengenakan busana tradisional unik yang menggabungkan elemen budaya Thailand dan Malaysia.
Hambalee, 34, dari Hatyai dan rakannya, Baidee, 34, dari Narathiwat berkata, ini merupakan kali pertama mereka menyertai program berkenaan selepas bekerja dan menetap di Malaysia sejak dua tahun lalu.
Menurut Hambalee, mereka mengetahui tentang penganjuran acara itu menerusi satu hantaran di laman TikTok oleh Locco yang merupakan penganjur Keretapi Sarong 2025.
“Kami pernah berniat untuk menyertai edisi terdahulu, tetapi ketika itu perlu pulang ke kampung halaman atas urusan keluarga,” katanya.
Hambalee hadir mengenakan busana tradisional Manora di bahagian kepala dan memadankannya dengan kain sarong yang diikat di pinggang.
Lebih menarik, aksesori Manora tersebut diperbuat daripada kertas dan dihasilkan sendiri olehnya bagi menonjolkan keunikan budaya Thailand dalam acuan Malaysia.
Sementara itu, Baidee berkata, penyertaan mereka diharapkan dapat memperkenalkan budaya Thailand kepada rakyat tempatan.
Katanya, usaha tersebut juga bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini yang memberi ruang kepada promosi budaya serantau.
“Kami gembira dapat berkongsi sedikit sebanyak budaya Thailand dengan masyarakat di sini, selain dapat mempromosikan acara ini kepada warga asing lain yang tinggal di Malaysia,” katanya.
Hambalee pula menyifatkan penganjuran Keretapi Sarong sebagai satu inisiatif yang baik dalam memelihara budaya tempatan dan menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami akan sertai lagi pada masa hadapan, malah bercadang untuk turut serta dalam edisi yang dianjurkan di negeri-negeri lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Warga Thailand pakai busana Manora meriahkan Keretapi Sarong 2025 appeared first on Kosmo Digital.