Auto Added by WPeMatico

Pada 4 hingga 5 Julai lalu telah berlangsung Kenyir Snakehead Battle (KSB) edisi ke-15 iaitu satu pertandingan mengilat ikan bak kepala ular (snakehead) di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang dianjurkan oleh Persatuan Pemancing Profesional Amatur Terengganu (PPPAT).
Edisi kali ini telah menampilkan lebih 140 peserta tempatan dan Indonesia.
Hadiah ditawarkan cukup lumayan iaitu daripada pelbagai jenama dan syarikat tempatan seperti Tasek Marine, Boatyard Malaysia, EXP, Pok Tam Caster, Ikanz, Extend, Epolcraft dan banyak lagi.
Ini seiring dengan salah satu matlamat penganjur untuk menaikkan lagi jenama-jenama tempatan dan membantu mempromosikannya ke tahap lebih tinggi.
Antara keunikan KSB kali ini, ia bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), untuk bersama-sama menjalankan kajian dan usaha menanda (tagging) ikan bagi mendapatkan maklumat pergerakannya.
Selain itu, pertandingan ini juga mendapat sokongan penuh daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (PPPAT). Sokongan ini telah membolehkan KSB berlangsung dengan lancar.
Terdapat kategori Individu, Berpasukan, Khas dan Ikan Toman Terkecil.
Sebanyak 40 cabutan bertuah berupa gewang, baju-T, topi dan peralatan memancing yang lain diadakan untuk menarik perhatian peserta.
Para peserta berkumpul di jeti berdekatan Jambatan Pulau Poh. Sebanyak enam ‘houseboat’ telah ditempah oleh penganjur untuk dijadikan tempat penginapan dan pengkalan utama bagi pertandingan ini.
Bagi kawasan pancing pula, tiada had jarak, namun peserta mestilah mengelakkan daripada masuk ke kawasan larangan yang telah digariskan oleh pihak berwajib.
Perjalanan pertandingan
Kemeriahan KSB dapat dilihat sejak malam pendaftaran. Lewat malam itu, semua houseboat semakin sunyi kerana ramai peserta telah masuk berehat selepas menyiapkan peralatan masing-masing kerana program akan bermula seawal pukul 7 pagi esok.
Pada pagi hari pertandingan, kelihatan peserta mula memanaskan enjin bot masing-masing dan berkumpul di sekeliling Houseboat Arowana yang menjadi pangkalan urus setia.
Pertandingan dimulakan dan dijangka berakhir pada pukul 7 petang. Peserta pun mula bergerak ke lubuk masing-masing, dan ada yang telah mula menghantar tangkapan untuk ditimbang selepas sejam pelepasan.

KSB mengamalkan konsep timbangan di kaunter urus setia bagi mengelakkan penipuan dan ketidakadilan dalam penjurian.
Hanya alat timbangan yang disediakan oleh urus setia sahaja layak digunakan.
Justeru, sejauh manapun peserta pergi mencari tangkapan, mereka perlu pulang ke urus setia untuk mendaftarkannya.
Ini menambah lagi cabaran kerana mereka perlu memastikan ikan segar dan hidup sehinggalah sampai ke urus setia.
Sepanjang hari pertama, pelbagai saiz ikan spesies ‘snakehead’ telah ditangkap oleh peserta.
Kesemua tangkapan ini telah ditanda dan ‘ditag’ oleh pihak UMT bagi menyempurnakan kajian mereka. Setelah ditanda, ikan-ikan ini dilepaskan semula sebagai satu usaha konservasi.
Hari kedua pertandingan
Di hari kedua, peserta mula bergerak seawal pukul 6.30 pagi, selepas tiga jam kelihatan seekor toman bujang seberat 6 kilogram (kg) lebih telah didaftarkan. Kesemua peserta dan urus setia bersorak menyambut peserta tersebut kerana ia merupakan spesimen terbesar sepanjang dua hari berkampung di sini.
Pada pukul 4 petang, pertandingan tamat dan peserta pun mulai berkumpul untuk majlis penyampaian hadiah dan penutup. Ia telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Ketengah, Mahdi Amin Ahmad.
Keputusan pertandingan
Mohd. Ridzuan daripada pasukan JCC B telah menjadi juara kategori Individu dengan toman seberat 6.28kg. Ini diikuti oleh Afieqzan daripada pasukan Kimia Angler mendapat tempat kedua, dan Muhammad Faiz daripada Glugorianz Angler tempat ketiga.
Kesemua pemenang ini membawa pulang hadiah berupa enjin elektrik Haswing dan peralatan memancing.
Bagi kategori toman terkecil, peserta perlu mendaratkan toman yang beratnya paling hampir dengan berat 1kg dan Abdul Alif daripada GLugorianz Angler telah menjadi juara dengan toman seberat 1.040 kg.
Kategori khas pula dimenangi oleh Kamarul daripada pasukan Sniper dengan haruan seberat 1.4kg diikuti oleh Najmi Haiqal dan Abdul Alif, kedua-duanya daripada Glugorianz Angler.
Bagi kategori kumpulan pula, JCC A telah mendominasi carta empat pertama dengan jumlah tangkapan enam ekor toman seberat 17.02kg.
Pasukan LaFamilia pula mendapat tempat kedua dengan jumlah tangkapan enam ekor toman dengan jumlah berat 15.22kg. Tempat ketiga diraih JCC B dengan jumlah tangkapan lima ekor toman.
Rata-rata peserta amat berpuas hati dengan penganjuran pertandingan dan berazam untuk mendapat keputusan yang lebih baik di KSB akan datang.
The post Kenyir Snakehead Battle promosi Tasik Kenyir appeared first on Kosmo Digital.
