Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Dua pegawai muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Kapten didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pegawai bawahan berpangkat Leftenan Muda di Kem Terendak, Sungai Udang, Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mohamad Solehudin Darus, 30, dan Ahmad Hazlan Haris Azman, 28, dari Rejimen Pertama Artileri Diraja Para, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama mencederakan seorang lelaki berusia 26 tahun di bahagian muka, belakang badan dan paha.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 2.30 pagi hingga 6 pagi, 22 Februari 2025, di hadapan Mes Pegawai Rejimen Pertama Artileri Diraja Para, Kem Terendak, Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad, mencadangkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding mahkamah.
Peguam P. Shamala yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu jaminan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 diberikan dengan alasan anak guamnya masih bertugas dengan gaji bulanan masing-masing RM2,600 dan RM1,700 selepas pemotongan pinjaman perumahan, selain perlu menanggung keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 18 Disember depan.- KOSMO! ONLINE
The post Dua pegawai ATM didakwa belasah Leftenan Muda di Kem Terendak appeared first on Kosmo Digital.