Auto Added by WPeMatico

Masih ramai menganggap setiap benjolan yang muncul pada kelopak mata sebagai ketumbit, sedangkan keadaan tersebut boleh berpunca daripada masalah berbeza yang dikenali sebagai kalazion.
Kalazion berlaku apabila kelenjar meibomian iaitu kelenjar kecil pada pangkal bulu mata mengalami penyumbatan sehingga menyebabkan minyak terkumpul dan membentuk benjolan pada kelopak mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, kalazion berbeza daripada masalah mata merah kerana ia biasanya tidak menyebabkan kemerahan, gatal atau kesakitan walaupun terdapat benjolan pada kelopak mata.
Menurutnya, kelenjar meibomian berfungsi menghasilkan minyak yang membantu mengekalkan kelembapan mata selain mengelakkan mata menjadi kering ketika seseorang berkelip.
“Apabila kelenjar ini tersumbat, minyak tidak dapat keluar dengan baik dan akhirnya terkumpul sehingga menyebabkan benjolan.
“Kalazion biasanya berlaku di kawasan berhampiran pangkal bulu mata kerana terdapat banyak kelenjar meibomian di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, berbeza dengan ketumbit yang berpunca daripada jangkitan, kalazion berlaku akibat masalah penyumbatan kelenjar minyak dan lazimnya berkembang secara perlahan.
Golongan berisiko
Mengulas mengenai golongan yang mudah mengalami kalazion, Dr. Hamidah berkata, individu yang kurang menjaga kebersihan selepas menggunakan solekan mempunyai risiko lebih tinggi.
Katanya, penggunaan alat solekan yang tidak dibersihkan dengan baik boleh menyebabkan kotoran terkumpul di kawasan mata sekali gus meningkatkan risiko penyumbatan kelenjar.
Selain itu, individu yang mempunyai masalah mata kering juga lebih mudah mengalami kalazion kerana gangguan pada penghasilan minyak boleh menjejaskan kelembapan mata.
“Mereka yang selalu mengalami masalah mata, mempunyai masalah kulit seperti dermatitis sekitar mata atau penyakit sistemik seperti diabetes juga lebih berisiko mendapat kalazion.
“Individu yang sering mendapat kalazion sebelum ini juga mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk masalah itu berulang,” katanya.
Tambahnya, penggunaan produk mata yang sudah tamat tempoh, berkongsi alat solekan serta penggunaan bahan yang tidak bersih pada kawasan mata turut boleh meningkatkan risiko masalah tersebut.

Tidak sakit tetapi boleh membesar
Menurut Dr. Hamidah, kalazion pada peringkat awal biasanya sukar disedari kerana tidak menyebabkan rasa sakit atau ketidakselesaan.
Bagaimanapun, apabila benjolan semakin membesar, pesakit boleh mula berasa berat pada mata sehingga mengganggu keselesaan ketika membuka mata.
“Kalazion biasanya tidak sakit. Sebab itu ramai pesakit membiarkannya sehingga benjolan menjadi besar dan keras. Apabila sudah besar, ia boleh memberi tekanan pada mata dan menyebabkan rasa tidak selesa,” katanya.
Beliau berkata, kalazion yang masih kecil dan lembut boleh dirawat melalui kaedah tuam panas secara konsisten.
Kaedah tersebut membantu mencairkan minyak yang tersumbat supaya ia lebih mudah keluar.
Namun, jika benjolan sudah menjadi keras dan tidak hilang selepas tempoh lama, pesakit disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor.
Jangan biar terlalu lama
Menurut beliau, pesakit perlu berjumpa doktor sekiranya benjolan semakin membesar, menjadi keras atau mula menunjukkan tanda jangkitan seperti kemerahan.
Katanya, kalazion yang tidak dirawat dalam tempoh lama boleh menjadi semakin besar sehingga mengganggu penglihatan.
“Jika sudah keras dan berlarutan lebih dua hingga tiga bulan, biasanya ia tidak akan hilang sendiri.
“Kita akan cadangkan prosedur membuangnya dengan membuat bukaan kecil pada bahagian dalam kelopak mata untuk mengeluarkan kandungan benjolan tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, prosedur itu mengambil masa beberapa minit sahaja dan biasanya tidak memerlukan jahitan kerana potongan dibuat pada bahagian dalam kelopak mata.
Selain itu, kalazion yang tidak dirawat juga berisiko mengalami jangkitan berulang yang boleh menjejaskan bahagian lain pada mata.
Beza kalazion dan ketumbit
Ujar Dr. Hamidah, masyarakat perlu mengetahui perbezaan antara kalazion dan ketumbit kerana kedua-duanya sering dianggap perkara sama.
Menurutnya, ketumbit atau dikenali sebagai hordeolum berlaku akibat jangkitan pada kawasan bulu mata.
“Ketumbit biasanya menyebabkan kelopak mata menjadi bengkak, merah dan sakit. Ia berlaku dengan cepat berbanding kalazion.
“Rawatan ketumbit biasanya melibatkan antibiotik kerana ia berpunca daripada jangkitan, manakala antibiotik tidak membantu merawat kalazion kerana ia bukan disebabkan jangkitan,” katanya.
Selain itu, ketumbit juga boleh menyebabkan mata berair, berbeza dengan kalazion yang kebiasaannya tidak menyebabkan keadaan tersebut.
Pencegahan kalazion boleh dilakukan melalui penjagaan kebersihan mata secara konsisten.
Antara langkah yang disarankan ialah mencuci solekan dengan sempurna, mengelakkan penggunaan produk mata yang sudah tamat tempoh, tidak berkongsi alat solekan serta memastikan tangan bersih sebelum menyentuh mata.
Selain itu, individu yang melakukan aktiviti di kawasan berhabuk atau berenang digalakkan menggunakan pelindung mata seperti goggle bagi mengurangkan risiko gangguan pada mata.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan masalah mata berlarutan tanpa pemeriksaan kerana diagnosis awal penting bagi menentukan rawatan yang sesuai.
The post Benjolan pada kelopak mata tidak semestinya ketumbit appeared first on Utusan Malaysia.


