Auto Added by WPeMatico

CAMERON HIGHLANDS – Seorang lelaki berusia 22 tahun yang diserang sawan ketika memandu dipercayai menjadi punca kepada insiden cemas di Kea Farm, di sini apabila kereta dipandunya merempuh sekumpulan pelancong.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kenderaan jenis Perodua Myvi dipandu dari arah Brinchang menuju ke Kea Farm terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh orang awam yang sedang membeli-belah di kawasan sesak itu.
“Akibat serangan sawan itu, kereta terbabit terbabas masuk ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar empat pejalan kaki iaitu seorang dewasa serta tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 10 tahun.
“Semua mangsa cedera ringan dan telah menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta berkenaan tidak mempunyai rekod saman, negatif dadah dan tidak mabuk namun semakan mengesahkan dia mempunyai sejarah penyakit sawan.
“Pihak polis telah mengeluarkan saman ke atas pemandu berkenaan mengikut peruntukan undang-undang trafik sedia ada, “katanya.
Dalam kejadian kira pukul 12 tengahari tadi, orang ramai di pusat beli-belah tumpuan pelancong, Kea Farm di sini, gempar apabila sebuah kereta tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sekumpulan pengunjung dalam kejadian yang kini tular di media sosial Facebook, Group Informasi Cameron Highlands.
Insiden mengejutkan itu turut memperlihatkan terdapat mangsa yang terperosok dibawah kereta berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Diserang sawan ketika memandu, lelaki rempuh pelancong di Kea Farm appeared first on Kosmo Digital.