Auto Added by WPeMatico

![]()
SUNGAI PETANI – Baru saja selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan mencuri kabel landasan kereta api, seorang lelaki sekali lagi diberkas polis kerana kembali aktif melakukan jenayah sama.
Ketika dicekup pada pukul 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 38 tahun itu yang merupakan ketua ‘Geng Kavi’ berada di dalam sebuah kereta di lokasi dipercayai menjadi tempat pelupusan kabel yang dicuri di Jalan Kuala Ketil, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejayaan itu diperolehi pihaknya selepas melancarkan Ops Pintu/Lusuh susulan kekerapan kecurian kabel di landasan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
“Dalam serbuan itu, polis merampas lapan gulung kabel KTMB serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memotong dan memecah kabel termasuk kapak, tukul besi, mesin pengisar, pemotong dan gergaji besi.
“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan merosakkan pagar milik KTMB sebelum memasuki kawasan landasan kereta api dan mencuri kabel yang berada di dalam manhole (lubang utiliti) menggunakan kapak dan pisau yang dibalut plastik bagi mengelak terkena renjatan elektrik,” katanya.
Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya lima kes potong dan curi kabel KTMB dan milik Telekom Malaysia (TM) dengan anggaran kerugian mencecah RM10,000.
Menurutnya, kumpulan itu menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan dengan penunggangnya mengenakan jaket pantulan cahaya bagi mengaburi mata orang ramai.
“Kesemua enam suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah, termasuk ketua kumpulan yang memiliki 30 rekod kesalahan lampau. Ujian air kencing kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,”jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Baru keluar penjara, dalang curi kabel ditangkap semula appeared first on Kosmo Digital.