Auto Added by WPeMatico

MIAMI – Pasukan Bayern Munich akhirnya menamatkan badi tanpa kemenangan kelab Eropah ketika bertemu pasukan dari Amerika Latin dengan menewaskan Boca Juniors 2-1 dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Dunia Kelab semalam.
Pada perlawanan di Stadium Hard Rock itu, skuad The Bavaria berjaya menjaringkan gol menerusi penyudah Harry Kane dan Michael Olise, manakala gol saguhati kelab Argentina itu dijaringkan oleh Miguel Merentiel.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany mengakui tidak terkejut dengan tentangan sengit yang diberikan oleh Boca Juniors kerana mereka berikan aksi sepenuh tenaga di atas padang.
“Kita telah lihat beberapa perlawanan dalam saingan Piala Dunia Kelab ini bahawa pasukan dari Eropah bergelut untuk menang ketika bertemu kelab dari Amerika Latin.
“Namun, kita telah pamerkan aksi yang baik dengan mempamerkan kematangan sepanjang 90 minit. Ia bukan kemenangan yang mudah tetapi saya bangga dengan keputusan ini,” katanya.
Sementara itu, Kane menarik nafas lega apabila dapat menamatkan penantian jaringan di kejohanan berprestij ini selepas gagal mencetak nama selaku penjaring walaupun pasukan menang 10-0 ke atas Auckland City pada Isnin lalu.
“Sebagai penyerang, sudah tentu saya mahukan jaringan dan gembira kali ini saya dapat membantu pasukan melakar kemenangan,” katanya.
Keputusan tersebut menyaksikan Bayern kini mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selepas mendahului carta Kumpulan C dengan enam mata. – AGENSI
The post CWC: Bayern handal atasi Boca Juniors appeared first on Kosmo Digital.