Auto Added by WPeMatico

SABAK BERNAM – Kerajaan negeri akan mengumumkan kadar caj baharu beg plastik dalam masa terdekat.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, langkah itu bagi menggalakkan lebih ramai pengguna membawa beg guna semula masing-masing.
Katanya, program kutipan caj beg plastik untuk hari Isnin hingga Khamis juga sedang ditambah baik melalui semakan semula undang-undang serta pewartaan garis panduan baharu.
“Selain itu, pindaan terhadap undang-undang kecil dan keperluan pindaan syarat lesen juga akan dimuktamadkan supaya pelaksanaan dasar ini lebih menyeluruh dengan penyertaan dari semua premis perniagaan yang terlibat.
“Kerajaan negeri juga telah meluluskan pekeliling bagi melarang penggunaan plastik sekali guna di bangunan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kempen bebas plastik siri ketiga, di sini hari ini.
Ketika ini, caj 20 sen terhadap beg plastik sekali guna dikenakan sejak 2017 dan hasil kutipan digunakan untuk pelbagai usaha pemuliharaan alam sekitar antaranya pembersihan sungai, pemberian beg kitar semula dan penanaman pokok.
Kata Jamaliah, kesemua pendekatan ini bersifat menyeluruh merangkumi dasar, perundangan, pemantauan dan penguatkuasaan.
Tegasnya, ini bagi memastikan Selangor berada di landasan betul untuk mencapai matlamat sifar penggunaan plastik sekali guna secara progresif dan berkesan menjelang tahun 2030.
“Pantai dan kawasan pesisir di Sabak Bernam juga tidak terkecuali daripada ancaman sisa plastik yang boleh mencemarkan ekosistem dan menghakis ekonomi nelayan setempat.
“Tali air yang tercemar dengan plastik boleh menjejaskan sistem pengairan sawah padi dan menurunkan hasil tanaman seterusnya memberikan kesan kepada keselamatan makanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Selangor bakal umum kadar caj baharu beg plastik appeared first on Kosmo Digital.