Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meneruskan rentak cemerlang apabila mengejutkan bekas pemenang pingat gangsa Olimpik Indonesia, Anthony Ginting pada pusingan pertama China Masters 2025 di Shenzhen, sebentar tadi.
Jun Hao, 26, menampilkan ketenangan luar biasa ketika berdepan cabaran sukar sebelum menoktahkan kemenangan 21-19, 5-21, 21-10 dalam pertarungan sengit yang memakan masa hampir satu jam.
“Perlawanan hari ini saya rasa lebih sabar kerana bukan mudah, terutama bermain dalam keadaan angin. Lawan lebih berpengalaman dan pandai mencuri mata, tapi saya berjaya bertahan dengan lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, set kedua menyaksikan Jun Hao terpaksa mengalah selepas ketinggalan jauh, sekali gus memilih untuk menyimpan tenaga bagi set penentuan.
“Pada set kedua dia sudah mendahului. Jadi lebih baik saya lepaskan dan fokus sepenuhnya pada set ketiga,” jelasnya kepada BWF selepas perlawanan.
Kemenangan ini juga memberi makna tersendiri kerana Jun Hao pernah tersingkir seawal pusingan pertama tahun lalu.
Kejayaan menundukkan Ginting turut menyaksikan rekod pertemuan mereka kembali seimbang 2-2, sekali gus menambah keyakinan pemain negara itu menjelang perlawanan seterusnya menentang bintang tuan rumah, Li Shi Feng.
“Untuk perlawanan menentang Shi Feng esok, ini peluang untuk saya membalas kekalahan minggu lalu. Jadi saya perlu buat persiapan terbaik,” tambahnya.
Shi Feng sebelum ini menyingkirkan Jun Hao pada aksi suku akhir Terbuka Hong Kong dalam pertarungan tiga set mendebarkan sebelum muncul juara kejohanan tersebut. Kosmo! Online
The post Jun Hao jinakkan Ginting appeared first on Kosmo Digital.