Auto Added by WPeMatico

![]()
MESKIPUN baru digandingkan dalam tempoh singkat, beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing sudah mula memasang impian untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bagaimanapun, beregu negara itu kekal realistik dan menyedari banyak perkara perlu diperbaiki, terutama dari segi persiapan dan serta strategi permainan yang lebih ampuh bagi merealisasikan impian beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Sudah tentu kami mahu memburu peluang ke Olimpik kerana itu adalah sasaran utama kami. Kami akan melangkah satu demi satu tanpa terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri dan menikmati permainan. Itu yang paling penting,” kata Pang Ron kepada BWF.
Terdahulu, gandingan profesional negara itu menamatkan saingan China Masters di Shenzhen sebagai naib juara selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 19-21, 16-21 pada aksi final.
Pencapaian itu cukup positif buat Pang Ron dan Pei Jing yang baru melalui enam kejohanan bersama sejak Malaysia Masters, namun Pei Jing mengakui mereka masih belum berpuas hati dengan tahap prestasi yang dipamerkan.
Pemain berusia 34 tahun itu berkata, status naib juara China Masters perlu dijadikan titik permulaan untuk mereka memburu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Setiap pasangan mempunyai kekuatan yang berbeza. Jadi sekarang saya cuba memberi fokus kepada gandingan saya bersama Pang Ron dan saya rasa ia benar-benar menjadi. Saya rasa kami masih perlu meningkatkan konsistensi dan mungkin dari segi strategi permainan,” ujar Pei Jing.
Kejayaan menembusi final kejohanan berstatus Super 750 itu menjadi petanda positif buat gandingan berkenaan dalam usaha membina keserasian, dengan sasaran lebih besar kini adalah untuk melayakkan diri ke Olimpik 2028.
The post Pang Ron-Pei Jing intai tiket ke Olimpik LA28 appeared first on Kosmo Digital.
