Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan video tular membabitkan seorang wanita yang cedera selepas kepingan jubin dari sebuah kondominium terjatuh di Bukit Damansara.
DBKL dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku apabila bahan binaan dari tapak projek pembinaan The Cedar, Bukit Damansara terjatuh pada pukul 5.55 petang, semalam.
Ujarnya, beberapa keping jubin granit berukuran 48,000 sentimeter yang sedang diangkat menggunakan ‘tower crane’ telah berlanggar dengan penghadang di aras tiga.
“Pelanggaran ini menyebabkan beberapa keping jubin jatuh ke pelantar perangkap dan terpelanting ke arah rumah mangsa tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, insiden itu mengakibatkan kerosakan pada bahagian bumbung rumah dan mencederakan penghuni kediaman berkenaan.
Sehubungan itu, ujarnya, DBKL telah membantu membersihkan sisa dan membaiki kerosakan di lokasi terjejas.
Selain itu, DBKL melalui Jabatan Kawalan Bangunan telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja atau Stop Work Order (SWO) pada pukul 11 pagi, hari ini, di bawah Seksyen 87 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“SWO ini berkuat kuasa sehingga pihak kontraktor menyiapkan pembaikan rumah yang terkesan dengan persetujuan pemilik, menanggung kos rawatan perubatan mangsa yang cedera, serta menambah baik pelantar perangkap di sempadan pembangunan The Cedar dan kediaman bersebelahan,” katanya.
Menurut DBKL, projek berkenaan melibatkan pembinaan satu blok pangsapuri mewah setinggi tujuh tingkat yang mengandungi 70 unit kediaman, lobi utama dan kemudahan penduduk di aras tanah.
Menurutnya, pelan bangunan telah diluluskan pada 28 April 2021, dan ketika ini pembinaan telah mencapai kemajuan sekitar 75 hingga 80 peratus di peringkat kerja-kerja arkitektural serta mekanikal dan elektrikal.
“DBKL ingin menegaskan bahawa keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan serta prosedur keselamatan di tapak pembinaan,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang wanita mendakwa dia dan keluarga nyaris maut selepas kepingan jubin dari sebuah kondominium yang sedang dalam pembinaan terjatuh menimpa rumahnya di Bukit Damansara.
Menerusi video tular di TikTok @nadiahraha, dia menunjukkan kecederaan dialami di bahagian hidungnya akibat kejadian tersebut.
Selain itu, wanita tersebut turut memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak akibat kepingan jubin tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Jubin granit sedang diangkat jatuh atas rumah – DBKL appeared first on Kosmo Digital.