Auto Added by WPeMatico

![]()
VANCOUVER – Penyerang Kanada, Jonathan David mencipta sejarah tersendiri apabila meledak hatrik untuk membantu pasukan itu membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026, sebentar tadi.
Kemenangan terbesar Kanada dalam sejarah penyertaan mereka di pentas Piala Dunia itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga, malah meletakkan mereka selangkah ke pusingan kalah mati.
David muncul watak utama perlawanan apabila menjaringkan tiga gol, sekali gus menyamai pencapaian bintang Argentina, Lionel Messi sebagai pemain kedua mencatat hatrik pada kejohanan kali ini.
Kanada terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Cyle Larin pada minit ke-16 sebelum David menggandakan kelebihan 13 minit kemudian.
Nasib Qatar bertambah malang apabila Homan Ahmed dilayangkan kad merah pada minit ke-33 sebelum David menambah gol ketiga Kanada pada masa kecederaan babak pertama untuk meletakkan pasukannya selesa mendahului 3-0.
Keadaan menjadi lebih buruk buat wakil Asia itu selepas Assim Madibo turut dibuang padang pada awal separuh masa kedua susulan terjahan keras yang menyebabkan pemain tengah Kanada, Ismael Kone mengalami patah kaki.
Beraksi dengan sembilan pemain, Qatar gagal mengekang asakan lawan apabila Nathan Saliba menambah jaringan keempat sebelum Mohamed Manai tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol kelima Kanada.
David kemudian melengkapkan malam gemilangnya menerusi gol ketiga peribadi pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan bergaya 6-0 di hadapan lebih 52,000 penyokong di BC Place. KOSMO! ONLINE
The post Piala Dunia 2026: Kanada pesta gol, David cipta sejarah appeared first on Kosmo Digital.
