Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mempertimbangkan untuk mengambil dan menjaga seorang bayi perempuan yang disahkan positif dua jenis dadah selepas dilahirkan oleh ibunya lebih dua minggu lalu.
Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, tindakan itu bagaimanapun hanya dilakukan oleh JKM Kelantan sekiranya ibu bapa dan ahli keluarga didapati tidak layak menjaga bayi tersebut.
Katanya, pihaknya akan berbincang dengan ibu bapa atau keluarga bayi berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan untuk menempatkan anak kecil itu di bawah pusat jagaan JKM.
“Jika semua urusan selesai, kita tawarkan untuk perintah mengambil anak di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-kanak.
“Setakat ini, JKM masih memantau rapat keadaan bayi berkenaan yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Next2 Work 2026 JKM Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Che Samsuzuki memberitahu, JKM akan cuba sedaya upaya untuk mencari ahli keluarga yang sanggup dan layak menjaga bayi berkenaan sebelum sebarang keputusan mengambilnya dijalankan.
Kosmo! Online semalam melaporkan, perbuatan seorang wanita yang mengambil ubat ‘anxiety’ atau kegelisahan ketika hamil dipercayai menjadi punca bayi yang dilahirkannya positif dadah jenis benzodiazepine atau benzo lebih dua minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif benzo atau sejenis ubat penenang dan bukan dadah berbahaya seperti syabu atau methamphetamine. – KOSMO! ONLINE
The post Bayi positif dadah: JKM Kelantan pertimbang ambil, jaga appeared first on Kosmo Digital.
