Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik pelancaran Aplikasi Aduan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah positif dalam memperkukuh integriti serta ketelusan pasukan keselamatan negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, inisiatif tersebut memberi peluang kepada orang awam untuk melaporkan salah laku anggota polis secara terus dan mudah, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti dalam kalangan pegawai penguat kuasa.
“Ini merupakan satu perkembangan yang dialu-alukan dan dapat membantu memperbaiki persepsi masyarakat terhadap PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Jais menegaskan bahawa keberkesanan aplikasi itu hanya dapat dicapai sekiranya disusuli dengan tindakan berani dan telus tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh luar.
MCW turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan aplikasi itu, antaranya pendedahan berkala statistik aduan kepada umum yang melibatkan jumlah aduan diterima, bilangan kes disiasat, jumlah aduan yang dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta tindakan disiplin atau pendakwaan yang telah diambil.
Selain itu, MCW mencadangkan agar aplikasi itu diperluaskan bagi memberi perlindungan menyeluruh kepada pemberi maklumat (whistleblower) dalam kalangan anggota polis sendiri, mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Ramai pegawai masih bimbang untuk membuat laporan kerana tekanan daripada hierarki dalaman. Justeru, jaminan perlindungan amat penting,” katanya.
Malah, MCW juga menggesa agar pemantauan terhadap sistem aduan dilakukan oleh satu jawatankuasa bebas yang turut melibatkan wakil masyarakat sivil, bagi memastikan siasatan tidak hanya terhad dalam organisasi.
MCW turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PDRM dalam mengadakan sesi kesedaran kepada masyarakat dan anggota polis berkenaan peranan aplikasi itu serta kepentingan memerangi salah laku secara beretika.
Pada masa sama, MCW menekankan keperluan supaya setiap aduan yang diterima melalui aplikasi itu diberikan maklum balas, sekurang-kurangnya dalam bentuk pengesahan penerimaan dan status awal siasatan, agar pelapor tidak merasa diabaikan.
“Pelancaran aplikasi ini hanyalah langkah awal. Kejayaan sebenar hanya akan dicapai apabila wujud keberanian institusi untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi, termasuk terhadap pegawai tinggi sekiranya terbukti bersalah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Laporkan salah laku polis, MCW sokong aplikasi JIPS appeared first on Kosmo Digital.