Auto Added by WPeMatico

JELEBU – Tiga lagi pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, di sini, yang diburu selepas melarikan diri daripada pusat terbabit awal pagi kelmarin berjaya ditangkap tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azizan Said berkata, kesemua tiga pelatih tersebut berjaya di tangkap di jalan Kongkoi, manakala baki dua lagi lelaki iaitu V Manimaran, 38 dan K Mohanaraj, 25 masih bebas.
“Sehubungan itu, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat orang awam bagi membantu pihak polis. Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Jelebu di talian 06-6136222 dan Bilik Gerakan Jelebu 06-6137999,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, polis menerima maklumat enam pelatih Puspen tersebut kira-kira pukul 1 pagi dan operasi mengesan serta menangkap pelatih dilancarkan termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Anggota Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Jelebu.
Salah seorang dari enam pelatih yang melarikan diri telah berjaya ditangkap semula di kawasan berhampiran kilang Rotan Titi Cane, Kongkoi, Jelebu, iaitu berjarak kira-kira lima kilometer (km) dari Puspen Jelebu kurang 24 jam dari kehilangan.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian membiarkan seseorang lari daripada pengurungan dan Seksyen 224 iaitu sengaja lari atau mencuba lari dari mana-mana jagaan dimana ditahan dengan sah di sisi undang-undang.- KOSMO! ONLINE
The post Tiga lagi pelatih Puspen Jelebu berjaya ditangkap appeared first on Kosmo Digital.