Auto Added by WPeMatico
Dewan Rakyat: RM223 juta bangunkan jelapang padi di Sarawak

![]()
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM223 juta diperuntukkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tahun depan bagi melaksanakan sembilan projek pembangunan jelapang padi baharu di Sarawak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek itu akan dilaksanakan di Batang Lupar, Kota Samarahan, Serian dan Igan dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“Kerajaan mahu memperluas kawasan jelapang padi baharu khususnya di Sarawak. Selain itu, jelapang sedia ada di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) juga diberi perhatian.
“Inisiatif ini akan dilaksana secara bersepadu melibatkan Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dan diselaras bersama dua Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) di Dewan Rakyat.
Aminolhuda bertanya mengenai perancangan kerajaan mewujudkan jelapang padi baharu di luar kawasan MADA dan KADA serta kemungkinan membawa pesawah berpengalaman dari Semenanjung bagi melatih pesawah tempatan di Sarawak.
Menurut Mohamad, usaha membangunkan jelapang di Sarawak penting bagi meningkatkan pengeluaran padi negeri itu sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari Semenanjung.
“Kerajaan berharap kerajaan negeri dapat menyediakan tanah mencukupi untuk tujuan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post Dewan Rakyat: RM223 juta bangunkan jelapang padi di Sarawak appeared first on Kosmo Digital.