Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan pengembalian kitaran kalendar akademik persekolahan kepada Januari hingga Disember bermula sesi 2026 tidak akan menjejaskan pengoperasian institusi pendidikan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu merupakan pelaksanaan komitmen yang diumumkan pada Mei 2023 bagi mengembalikan semula takwim persekolahan seperti sebelum pandemik Covid-19.
Menurut beliau, bagi tahun 2026, sesi persekolahan di negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bermula pada 11 Januari hingga 31 Disember 2026, manakala negeri Kumpulan B pula bermula pada 12 Januari hingga 31 Disember 2026.
“Usaha mengembalikan takwim persekolahan kepada kitaran Januari hingga Disember bukan satu perkara mudah dan memerlukan perancangan yang rapi serta penelitian mendalam bagi memastikan tiada gangguan kepada operasi sekolah,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, KPM telah melaksanakan perubahan tersebut secara berfasa sejak sesi 2023/2024 dengan memastikan keperluan minimum 190 hari persekolahan seperti ditetapkan dalam Akta Pendidikan dan peraturan berkaitan terus dipatuhi.
Menurut Wong, penyusunan semula kalendar akademik turut melibatkan pelarasan jadual pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), selain penyesuaian cuti penggal.
“KPM juga telah mengadakan sesi libat urus menyeluruh bersama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir sekolah serta kesatuan guru bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas agar pelaksanaan ini berjalan lancar,” katanya.
Tambah beliau, kementerian yakin pengembalian takwim persekolahan itu akan memberi manfaat optimum kepada murid, guru dan keseluruhan ekosistem pendidikan, selain kekal terbuka menerima maklum balas bagi menilai keberkesanan pelaksanaannya selepas sesi 2026.-KOSMO! ONLINE.
The post Kalendar akademik Januari 2026 tidak ganggu operasi sekolah appeared first on Kosmo Digital.