Auto Added by WPeMatico

BANGKOK – Puteri sulung Raja Thailand yang sakit tenat di hospital selama lebih dua tahun, mengalami jangkitan darah teruk, demikian menurut kenyataan istana hari ini.
Puteri Bajrakitiyabha Mahidol tidak sedarkan diri di hospital selepas mengalami masalah jantung pada Disember 2022 ketika menghadiri sesi latihan anjing tentera di Nakhon Ratchasima, utara Bangkok.
Kenyataan Istana Thai itu merupakan kemas kini pertama mengenai keadaan puteri tersebut dalam tempoh lebih dua tahun.
“Doktor-doktor melaporkan bahawa paru-paru dan buah pinggang puteri itu berfungsi dengan bantuan peralatan perubatan dan ubat-ubatan,” kata kenyataan itu.
“Mulai 9 Ogos 2025, pasukan perubatan mengesan jangkitan teruk dalam aliran darah, menyebabkan mereka memberikan antibiotik dan ubat lain untuk merangsang dan mengekalkan kestabilan tekanan darah.
“Doktor-doktor akan terus memantau keadaan Bajrakitiyabha dan memberikan rawatan bersesuaian,” kata kenyataan sama.
Dikenali di Thailand sebagai Puteri Bha, wanita berusia 46 tahun itu merupakan puteri sulung Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, 73, dan satu-satunya anak daripada perkahwinan pertama baginda.
Mendapat pendidikan di Britain, Amerika Syarikat dan Thailand, Puteri Bajrakitiyabha pernah memegang pelbagai jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memperjuangkan layanan lebih baik kepada wanita di penjara.
Puteri itu dilihat rapat dengan bapanya dan setahun sebelum dimasukkan ke hospital, telah dilantik ke jawatan kanan dalam pasukan pengawal peribadi raja.
Raja Thailand yang mempunyai tujuh orang anak daripada empat perkahwinan itu masih belum mengumumkan pewaris takhta, namun peraturan pewarisan lebih memihak kepada anak lelaki. – AFP
The post Puteri Raja Thai alami jangkitan darah teruk appeared first on Kosmo Digital.