Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sudah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam kes saman fitnahnya.
Perkara itu disahkan peguam Datuk SN Nair yang mewakili Teresa dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut peguam itu, Jamal selaku penghutang penghakiman menyerahkan cek berjumlah RM66,600 kepada Teresa pada pukul 5 petang semalam sebagai penyelesaian.
Katanya, susulan pembayaran itu, lelongan awam yang sebelum ini dijadualkan pada 22 Jun ini iaitu Isnin ditangguhkan dan tidak akan diteruskan buat sementara waktu.
Hutang penghakiman akan dianggap dijelaskan sepenuhnya dan prosiding lelongan akan dibatalkan sekiranya cek tersebut berjaya dijelaskan.
Pada 12 Jun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 Jun ini bagi lelongan 14 aset milik Jamal yang disita di kediamannya di Ampang, Selangor berhubung kegagalan menbayar kos sebanyak RM66,061.85 dalam kes saman fitnahnya.
Mahkamah mengarahkan penyitaan harta alih di kediaman Jamal selepas lelaki itu gagal membayar kos RM66,061.85 kepada Teresa atau Teresa Kok Suh Sim berhubung kes saman fitnah berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Writ Penyitaan dan Penjualan dijalankan oleh bailif mahkamah untuk mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak sebagai kos yang belum dibayar dan proses penyitaan dilakukan di kediaman Jamal di Ampang Jaya.
Untuk rekod, Jamal sudah menjelaskan RM300,000 kepada Teresa dalam kes saman itu, namun terdapat lagi baki berhubung kos yang belum dijelaskan.-KOSMO! ONLINE.
The post Jamal Yunos bayar penghakiman tertunggak, lelongan barang ditangguh appeared first on Kosmo Digital.
