Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang ibu tunggal dan anak perempuannya ditemukan maut di dalam kereta pelbagai guna (MPV) Proton Exora dipercayai lemas akibat terhidu gas karbon monoksida di Jalan Solok Hilir Paya Rumput, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25, ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melalui panggilan MERS 999 pada pukul 12.24 tengah malam dan sepasukan anggota peronda telah dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi dua wanita didapati telah meninggal dunia di dalam kenderaan tersebut dan disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Melaka.
“Kedua-duanya merupakan ibu dan anak yang menetap di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa disyaki lemas akibat keracunan gas karbon monoksida selepas berhenti untuk berehat tanpa mematikan enjin kereta.
“Semasa mereka ditemui, enjin kereta dan pendingin hawa masih hidup, tingkap juga tertutup. Kedua-duanya dalam keadaan berbaring di kerusi hadapan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat yang telah dilakukan pagi tadi,”ujarnya.
Katanya, darah si mati telah dihantar ke Jabatan Kimia Melaka untuk semakan termasuk mengesan keracunan gas karbon monoksida dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- KOSMO! ONLINE
The post Dua beranak dijumpai lemas dalam kereta appeared first on Kosmo Digital.