Auto Added by WPeMatico
Pendapatan RM7,000 di Kelantan, Kedah sudah jadi T20

![]()
PETALING JAYA – Isi rumah yang memperoleh pendapatan kasar bulanan sekitar RM7,000 di negeri seperti Kelantan dan Kedah kini sudah dikategorikan dalam kelompok 20 peratus teratas (T20).
Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ambang pendapatan isi rumah bagi kategori T20 di Kelantan ditetapkan pada RM7,000 ke atas, manakala Kedah pula RM7,820 ke atas.
Ini bermakna isi rumah di Kelantan yang berpendapatan RM7,000 sebulan sudah melepasi kategori M40 yang berada dalam julat RM3,520 hingga RM6,999.
Situasi sama turut dilihat di Kedah apabila kategori B40 ditetapkan pada pendapatan bawah RM3,940, M40 antara RM3,940 hingga RM7,819, manakala T20 bermula pada RM7,820.
Perbandingan tersebut menunjukkan ambang untuk memasuki kategori T20 di beberapa negeri jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri bandar utama seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di Selangor, kategori T20 hanya bermula pada pendapatan kasar isi rumah RM16,040 ke atas, manakala Kuala Lumpur (RM17,030) dan Putrajaya (RM19,030).
Secara nasional, DOSM menetapkan kategori B40 pada pendapatan isi rumah kurang RM5,860, M40 antara RM5,860 hingga RM12,679, manakala T20 bermula RM12,680.
Negeri lain yang turut merekodkan ambang T20 lebih rendah termasuk Perlis (RM8,010), Perak (RM8,220), Pahang (RM8,090) dan Sarawak (RM9,710).
Sementara itu, negeri dengan ambang T20 yang lebih tinggi selepas kawasan Lembah Klang ialah Johor dan Pulau Pinang, masing-masing pada RM13,560 dan RM12,680. – KOSMO! ONLINE
The post Pendapatan RM7,000 di Kelantan, Kedah sudah jadi T20 appeared first on Kosmo Digital.
