Auto Added by WPeMatico
Dakwaan Masjid At-Taqwa diboikot tidak benar

![]()
PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menegaskan dakwaan kononnya Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail diboikot jemaah sehingga menyebabkan kehadiran rendah ketika majlis berbuka puasa adalah tidak tepat.
Jawi dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sentiasa memantau operasi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan segala aktiviti berjalan lancar serta memberi manfaat kepada umat Islam.
Penjelasan itu dibuat susulan satu hantaran di media sosial oleh seorang pengguna aplikasi Threads yang mendakwa berlaku kekurangan jemaah ketika berbuka puasa di Masjid At-Taqwa pada 22 Februari lalu.
“Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan melaksanakan inisiatif penyediaan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan.
“Bagaimanapun, memandangkan waktu berbuka puasa kini agak lewat, kebiasaannya jemaah hanya mula memenuhi masjid sekitar pukul 7 malam,” menurut kenyataan itu.
Jawi menjelaskan, situasi berkenaan bukan sahaja berlaku di Masjid At-Taqwa, malah hampir di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Jawi memaklumkan pihaknya melaksanakan Program Iftar Rahmah Madani (IRM) di 70 masjid dan surau terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang Ramadan ini.
Program itu menyasarkan seramai 300 penerima setiap hari bagi setiap masjid dan surau terlibat, sekali gus menjadikan sebanyak 21,000 pek makanan percuma diagihkan setiap hari dan dianggarkan 630,000 pek sepanjang bulan Ramadan.
Menurut kenyataan itu, penerima terdiri daripada golongan asnaf, kumpulan B40 serta individu yang memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan.
Selain itu, sebanyak 12 masjid di bawah seliaan Jawi turut menyediakan perkhidmatan jagaan kanak-kanak atau ruang bermain semasa solat tarawih bagi memberi peluang kepada ibu bapa menunaikan ibadah secara berjemaah dengan lebih selesa.
“Jawi komited memperkasakan agenda kebajikan umat Islam dan akan terus memastikan pengurusan masjid serta surau di Wilayah Persekutuan berada pada tahap terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post Dakwaan Masjid At-Taqwa diboikot tidak benar appeared first on Kosmo Digital.
