Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan supaya pasukan polis membuka semula siasatan terhadap kematian model Belanda, Ivana Esther Robert Smith yang mayat gadis itu ditemukan di tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain turut memerintahkan polis memberi taklimat perkembangan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bagi menentukan kesempurnaan pengumpulan bukti dan tindakan seterusnya diambil berhubung kes itu.
“Kematian seorang wanita muda berusia 18 tahun dalam keadaan yang mencurigakan sepatutnya memerlukan siasatan yang paling teliti dan profesional. Sebaliknya, bukti mendedahkan beberapa kegagalan, ketidakcekapan dan mengabaikan prosedur,” ujar beliau.
Penghakiman lanjut turut menyatakan pada 8 Februari 2018, satu laporan mendedahkan kehadiran Asid Deoksiribonukleik (DNA) di bawah kuku si mati.
Kata hakim itu, walaupun bukti kritikal ditemukan, dua individu dibenarkan meninggalkan Malaysia pada 29 Mac 2018, hampir sebulan selepas penemuan DNA tersebut.
Sementara itu keluarga mendiang dalam satu kenyataan media meluahkan rasa lega dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan siasatan baharu dijalankan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan peguam, Datuk Sankara Nair bagi pihak keluarga Ivana berkata, keputusan mahkamah itu telah memberi pengiktirafan terhadap kelemahan yang berlaku dalam siasatan sebelum ini.
Beliau berkata, keluarga itu menegaskan bahawa pampasan RM1.1 juta bukanlah perkara utama, sebaliknya pengesahan bahawa mereka tidak berhalusinasi di sepanjang lapan tahun memperjuangkan keadilan buat Ivana.
“Ahli keluarga tahu Ivana tidak akan kembali, tetapi sekurang-kurangnya merasa puas kerana siasatan baharu akan dijalankan,” kata kenyataan tersebut.
Terdahulu Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada keluarga Ivana selepas membenarkan saman yang dikemukakan ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.
Ia yang mana mahkamah mendapati terdapat kecuaian oleh pihak polis dalam mengendalikan siasatan kematian gadis itu
pada tahun 2017.
Christina Carolina, 60, selaku plaintif memfailkan saman itu pada pada 20 November 2020, terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
Saman itu berhubung dakwaan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Pada 7 Disember 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan polis dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan plaintif atas alasan kes tersebut tidak sesuai dibatalkan kerana terdapat persoalan serius yang perlu dihujahkan melalui perbicaraan penuh.
Pada 18 Mac 2019, Sebelum ini, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas).
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, wanita itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 November 2019.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Ivana tidak kembali, tapi puas hati siasatan baharu dijalankan – Keluarga appeared first on Kosmo Digital.