Auto Added by WPeMatico
TVET lahir insan kreatif, inovatif

![]()
ARAU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berperanan penting melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, inovasi bukan lagi satu pilihan dalam dunia yang sentiasa berubah, tetapi asas kemajuan dan daya saing negara.
Titah baginda, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (Al), automasi, robotik dan pendigitalan mengubah landskap pekerjaan dan industri pada masa sekarang.
“Saya berharap budaya inovasi terus dipupuk dalam kalangan warga Politeknik dan para graduan.
“Ia bukan sekadar mencetuskan idea baharu, tetapi menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini semalam.
Konvokesyen berlangsung sehingga Ahad ini, membabitkan 6,104 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Titah baginda graduan tidak seharusnya mengabaikan nilai murni iaitu ilmu dan kemahiran dengan dipandu akhlak mulia dan integriti tinggi serta semangat cinta negara dalam mengejar kecemerlangan.
“Graduan cemerlang bukan sahaja dinilai melalui kepakaran dimiliki, tetapi juga melalui kejujuran, amanah dan keperibadian.
“Teruslah melangkah dengan penuh keyakinan, memanfaatkan ilmu dan kemahiran dimiliki dan menjadi insan bermanfaat kepada masyarakat, negeri dan negara,” titah baginda. – UTUSAN
The post TVET lahir insan kreatif, inovatif appeared first on Utusan Malaysia.
