Auto Added by WPeMatico

INDUSTRI robotik China terus mencatat kemajuan apabila syarikat pengeluar kenderaan elektrik, XPENG Inc. (XPENG) secara rasmi memulakan operasi penghasilan robot humanoid di Guangzhou baru-baru ini.
Robot humanoid serba guna yang dikenali sebagai IRON itu dipamerkan di depan khalayak selepas selesai dibina di kilang automasi syarikat tersebut.
IRON dilihat berjalan keluar sendiri dari tempat pemasangannya, sekali gus menandakan peralihan penting daripada fasa pembangunan protoip kepada pengeluaran sebenar.
Fasa protaip robot humanoid XPENG yang bermula secara rasmi sejak Oktober 2023, kini beralih ke tahap prapengeluaran (kumpulan kecil) sekitar Ogos lalu.
Peringkat prapengeluaran berada di tahap eksperimen terakhir, di mana robot dibina secara separa manual untuk menguji ketepatan komponen sebelum sistem acuan kilang ditetapkan.
Menurut kenyataan rasmi syarikat tersebut, fasa prototaip makmal diyakini tamat sepenuhnya pada 8 September lalu, sebaik sahaja robot pertama berjaya dipasang oleh lengan mekanikal dan berjalan sendiri.
Kejayaan itu menjadikan projek robot XPENG secara rasmi telah beralih daripada rekaan prototaip makmal kepada pembuatan industri komersial.
Menurut Pengerusi dan Pengasas Bersama XPENG, He Xiaopeng, pelancaran kilang automasi robot humanoid itu menjadi momen bersejarah kerana pengeluaran robot IRON memiliki tahap automasi melebihi 80 peratus untuk proses pembuatan terasnya.
“Hari ini, kita menyaksikan detik penting dalam sejarah pembangunan robotik apabila pengeluaran automatik pertama di dunia untuk robot humanoid serba guna.
“Pengeluaran (kilang) automatik ini maju dan kini boleh digunakan untuk mengotomasikan pengeluaran robot lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kemajuan kejuruteraan robotik, malah menjadi langkah awal ke arah merealisasikan pengeluaran robot humanoid berskala besar.
Bagi XPENG, pembukaan line pengeluaran berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengembangkan teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada persekitaran digital kepada aplikasi fizikal yang mampu berinteraksi secara langsung dengan dunia nyata.
Dengan lebih 80 peratus proses teras dilaksanakan secara automatik, kemudahan itu dibangunkan berasaskan piawaian kualiti automotif yang digunakan dalam pengeluaran kenderaan elektrik pintar XPENG.
Ia menggabungkan ketepatan kejuruteraan, fleksibiliti operasi dan sistem automasi pintar dalam satu rangkaian pengeluaran.
XPENG membangunkan keseluruhan sistem berkenaan dari peringkat awal tanpa bergantung pada model pengeluaran robot humanoid sedia ada.
Pendekatan itu mencerminkan usaha XPENG untuk membina keupayaan pembuatan dalam bidang robotik yang masih berkembang.
Laman rasmi syarikat itu menyifatkan IRON bukan sekadar robot yang direka untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Sebaliknya, ia dibangunkan sebagai platform robot humanoid serba guna yang berupaya melaksanakan pelbagai tugasan dalam persekitaran kehidupan sebenar.
Dengan reka bentuk fizikal dan pergerakan yang menyerupai manusia, IRON mempunyai 76 darjah kebebasan pergerakan, manakala setiap tangannya dilengkapi 21 darjah kebebasan.
Kelebihan itu membolehkan ia melakukan pergerakan yang lebih kompleks, termasuk memanipulasi objek dengan tahap ketepatan dan ketangkasan tinggi.
Menurut laporan SlashGear, IRON dilengkapi tiga cip Turing yang dibangunkan sendiri oleh XPENG.
Keseluruhan cip berkenaan menawarkan kuasa pemprosesan sehingga 2,250 tera operasi sesaat (TOPS), sekali gus menyokong pengoperasian model asas kecerdasan buatan fizikal (physical AI) secara langsung pada badan robot.
“Keupayaan memproses data di dalam robot membolehkan IRON membuat keputusan dan melaksanakan tugasan dengan lebih autonomi, tanpa bergantung sepenuhnya pada kawalan manusia atau pemprosesan berasaskan awan.
“Pendekatan ini berpotensi mengurangkan kelewatan tindak balas, di samping membantu meningkatkan perlindungan data apabila robot digunakan dalam persekitaran yang memerlukan pemprosesan maklumat secara masa nyata,” lapor media tersebut.
Kemajuan XPENG dalam bidang robotik turut disokong oleh suntikan dana yang besar sebagai pemacu pembangunan robotik.
Pada bulan lalu, bahagian robotik syarikat itu dilaporkan berjaya mengumpul lebih AS$900 juta (RM3.67 bilion) dalam pusingan pembiayaan yang menyaksikan penilaian selepas pelaburan melebihi AS$6.3 bilion (RM25.83 bilion).
Difahamkan, pelaburan tersebut merupakan antara yang terbesar dalam industri AI di China, dengan diketuai oleh IDG Capital menerusi penyertaan pelabur strategik seperti Alibaba Group, Tencent dan Gaorong Ventures.
Gandingan barisan nama besar itu secara tidak langsung mengukuhkan matlamat XPENG yang menyasarkan pengeluaran besar-besaran robot humanoid menjelang tahun 2030.
Pada peringkat awal, robot berkenaan akan digunakan di premis perniagaan dan kampus XPENG sendiri sebagai sebahagian daripada projek perintis.
Penghantaran kepada pelanggan di China dan pasaran antarabangsa dirancang bermula pada tahun depan.
Meskipun perincian mengenai jumlah pengeluaran awal tidak dinyatakan, namun XPENG telah menetapkan sasaran jangka panjang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada ribuan unit pada setiap bulan.
The post Siap di kilang terus bangkit sendiri, robot mula dihasilkan secara automasi appeared first on Kosmo Online.
