Auto Added by WPeMatico

MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim berdepan tiga perlawanan yang dianggap paling kritikal apabila bakal menentukan masa depannya bersama pasukan itu.
Sejak mengambil alih tugas di Old Trafford, Amorim hanya meraih lapan kemenangan dalam 31 perlawanan sehingga beliau dilapor mula gagal mendapat sokongan daripada para pemain di bilik persalinan.
Biarpun masih kekal mendapat sokongan daripada pihak pengurusan, difahamakan ahli lembaga pengarah kelab itu akan membuat penilaian mengenai kedudukannya sebagai pengurus selepas tiga perlawanan nanti melibatkan aksi menentang Chelsea, Brentford dan Sunderland.
Ketika ini, beberapa nama sudah berada dalam senarai pihak pengurusan United sekiranya mereka terpaksa membuat keputusan memecat Amorim terutama bekas pengendali England, Gareth Southgate.
Nama lain yang turut dipertimbangkan adalah pengendali Crystal Palace, Oliver Glasner, Pengurus Fulham, Marco Silva serta Andoni Iraola yang mengemudi Bournemouth.
Selain itu, calon yang sejak lama dikaitkan dengan United, Mauricio Pochettino yang kini sedang membimbing pasukan kebangsaan Amerika Syarikat masih kekal menjadi nama yang turut diberikan perhatian.
Selain pelantikan pengendali baharu, pihak pengurusan United juga perlu membuat pertimbangan yang benar-benar realistik sekiranya mahu memecat Amorim apabila perlu membayar pampasan yang agak besar.
Berdasarkan laporan, kelab itu mungkin perlu mengeluarkan perbelanjaan sekitar £12 juta (RM68.77 juta) sebagai pampasan buat pengendali dari Portugal berkenaan untuk meninggalkan United. – AGENSI
The post EPL: Amorim hadapi tempoh getir appeared first on Kosmo Digital.