Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Teknologi poligraf yang sebelum ini lebih sinonim dengan siasatan jenayah kini dilihat semakin relevan sebagai instrumen sokongan dalam proses saringan pekerjaan dan pengurusan integriti organisasi.
Perkara itu antara fokus Seminar Poligraf Malaysia: Peranan Poligraf dalam Saringan Pekerjaan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berlangsung di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) melibatkan 60 peserta daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan pemain industri teknologi poligraf.
Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas Maca SPRM, Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan berkata, seminar tersebut merupakan agenda penting dalam memperkasa pengetahuan serta amalan terbaik bidang poligraf di peringkat nasional.
“Perkongsian kepakaran dan pengalaman rentas agensi seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dalam usaha memerangi jenayah, salah laku serta isu berkaitan integriti,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, Seminar Poligraf Malaysia diharap dapat diteruskan secara berkala dalam skala lebih besar menerusi penganjuran program seperti penyelidikan, kolokium dan seminar ilmiah bagi memperkukuh pembangunan kepakaran serta potensi penggunaan poligraf di Malaysia.
Terdahulu, SPRM turut mengadakan Kursus Asas Poligraf dan Sokongan Operasi melibatkan 17 pemeriksa poligraf SPRM dari 19 hingga 21 Mei lalu yang dikendalikan pakar kriminologi, Prof. Datuk Seri Dr. Akhbar Satar bersama pemeriksa poligraf SPRM bagi memastikan peserta menguasai prosedur serta amalan terbaik pemeriksaan poligraf di peringkat jabatan.
Antara organisasi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Universiti Teknologi Mara, Tenaga Nasional Berhad dan XSpec Technology. – KOSMO! ONLINE
The post Poligraf kini jadi instrumen saringan pekerjaan appeared first on Kosmo Digital.
