Auto Added by WPeMatico

![]()
KAJANG – Dua individu berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 12.24 tengah hari.
Beliau berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika seorang lelaki tempatan memandu kereta bersama penumpang dari Hulu Langat menuju ke Johor.
“Semasa melalui lokasi kejadian, pemandu cuba mengelak haiwan yang melintas jalan sebelum hilang kawalan lalu kenderaan dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam Sungai Langat.
“Pemandu dan penumpang berjaya keluar dari kenderaan melalui pintu kiri serta bumbung suria (sunroof) tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kemalangan itu hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan terbabit dan tidak melibatkan sebarang kerosakan terhadap kenderaan atau harta benda lain.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Khairul Ismail di talian 011-33210917 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, seorang pengguna Thread berkongsi hantaran memaparkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai jenis Range Rover berada di dalam Sungai Langat dengan sunroof terbuka. – KOSMO! ONLINE
The post Elak haiwan melintas, Range Rover ‘masuk’ Sungai Langat appeared first on Kosmo Digital.
