Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN: IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) mengambil langkah proaktif memperkukuh budaya kerja beretika menerusi penganjuran Program Hari Integriti 1.0 yang menyaksikan pemeteraian ikrar bebas rasuah dalam kalangan warga kerja Kumpulan IIUM Holdings.
Inisiatif terbitan anak syarikat IIUM Holdings itu dengan kerjasama IKOP Pharma dan Daya Bersih dianjurkan bagi menyemarakkan amalan tadbir urus korporat yang telus, akauntabel dan berprestasi tinggi selaras dengan aspirasi organisasi mampan.
Sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan pakar yang berurusan secara langsung dengan masyarakat, IMSC menyedari bahawa integriti dan amanah merupakan tiang seri utama dalam mengekalkan kepercayaan pesakit.
Penganjuran program ini menjadi manifestasi pendirian tegas IMSC dan Kumpulan IIUM Holdings dalam menolak sebarang bentuk rasuah, penyelewengan mahupun salah laku dalam penyampaian perkhidmatan harian.
Kemuncak program menyaksikan Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai sendiri oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holdings, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.
Langkah berkenaan mentakrifkan komitmen penuh kepimpinan tertinggi kumpulan dalam memandu organisasi ke arah persekitaran kerja yang profesional dan diyakini.
Majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Shazleen Md. Noh dan Ketua Cawangan Siasatan Integriti Badan Awam SPRM Pahang, Siti Halimatus Saadiah Zuhari.
Melalui penganjuran Hari Integriti 1.0 ini, Kumpulan IIUM Holdings berharap ia menjadi pemangkin kepada pembudayaan nilai murni yang berterusan, sekali gus meletakkan penanda aras baharu dalam tadbir urus sektor kesihatan dan korporat negara. – UTUSAN
The post IMSC terajui budaya bebas rasuah, perkasa integriti Kumpulan IIUM Holdings appeared first on Utusan Malaysia.
